Tuesday, November 23, 2010

NUTRIEN UNTUK ANAK-ANAK

Assalamualaikum sahabat2 semua..

Sedang asyik selak2 majalah "positive PARENTING vol. 2" ni, ternampak info yang berguna terutama untuk para ibu bapa. Kebetulan tengah rajin nak menaip ni, boleh la kita share dan manfaatkan info ni ye.
Semoga ianya dapat dijadikan panduan bagi penyediaan makanan untuk anak-anak kita.
Gambar susu tu sekadar hiasan je; sebab anak kiter minum susu tu :)...amik dari web enfagrow.

Ni artikel tu...SELAMAT MEMBACA :)

Pembelajaran merupakan proses yang berterusan sepanjang hayat. Namun demikian, terdapat "masa utama" apabila otak akan bertindak seperti "span hebat" yang menyerap maklumat baru dengan mudah dan berkembang dengan hebat. Pelbagai faktor telah terbukti akan mempengaruhi perkembangan otak peringkat awal termasuk genetik, pengalaman harian, aktiviti fizikal dan terutama sekali, diet yang sihat dan berkhasiat.

Membekalkan anak anda dengan diet sihat dan seimbang adalah penting bagi memastikan dia mendapat semua nutrien yang diperlukan untuk perkembangan otaknya sekarang dan pada masa hadapan.

Seperti bahagian badan lain, otak memerlukan pelbagai jenis nutrien untuk berkembang dan mengekalkan tumbesaran. Jadi, berikan anak anda keseimbangan nutrien yang baik untuk berkembang dengan sempurna.


DHA (asid dokosaheksenoik) AA (asid arakidonik). DHA dan AA serta asid lemak omega-3 dan omega-6 merupakan asid lemak utama yang terlibat dalam pembentukan plasma fetus, otak dan retina. Kajian menunjukkan kedua-duanya membantu memperbaiki perkembangan mental kerana kanak-kanak yang menerimanya telah menunjukkan peningkatan yang berkesan dalam prestasi membaca, mengeja dan penglihatan berbanding mereka yang tidak.
Sumber : Ikan berminyak (salmon, tuna, sardin), walnut, telur, minyak jagung

FOSFOLIPID (phospholipids) juga penting untuk kesihatan otak yang optimum kerana ia membantu memperbaiki perhubungan sel otak, memori dan fungsi mental.
Sumber : Telur, susu

KOLINA (choline) menyokong aktiviti sistem saraf, diperlukan untuk perkembangan otak dan membantu memperbaiki fungsi memori kanak-kanak supaya dapat mengingati dengan lebih mudah.
Sumber : Kuning telur, soya, kacang tanah, brokoli, hati

ZAT BESI (iron) penting untuk perkembangan otak yang mempengaruhi tingkah laku dan kebijaksanaan akan turut menghasilkan penghantar saraf (atau neurotransmitter), iaitu bahan kimia yang menghantar maklumat di sekeliling otak serta sistem saraf.
Sumber : Daging merah, hati, makanan laut, daging tanpa lemak, ayam tanpa lemak, ikan kod, bayam

TAURINA (taurine) memainkan peranan penting dalam penghasilan penghantar saraf yang diperlukan untuk perhubungan saraf.
Sumber : Legum, sayuran berdaun hijau, bijirin penuh, kacang, bijan

ZINK/ANTIOKSIDAN (zinc/antioxidants) menyokong tumbesaran dan pembahagian sel serta boleh melindungi sel-sel dalam otak dan sistem saraf pusat.
Sumber : Prun, kismis, beri biru, kacang merah, kacang pecan

Berikan anak anda yang terbaik dengan membekalkan diet seimbang bagi membantunya membesar lebih bijak dan dengan kebolehan pembelajaran yang lebih baik!

DAGING PAPRIK

Salam selasa sahabat2 semua, dah makan tengahari ?? Jom kita layan menu daging paprik jap. Gengkan dengan telur dadar ngam nih...Resepi lauk ni refer buku resepi chef hanieliza. Sedap la, macam rasa paprik kat kedai area kerinchi (selalu makan kat sana masa bujang2 dulu hikhik).



Bahan A (dipotong kecil)
  • 300gram daging
  • 100gram kacang panjang
  • 1 biji cili merah
  • 1 labu bawang besar

Bahan B (Untuk Sos)
  • 1 sudu makan kicap pekat
  • 5 sudu makan sos cili
  • 2 sudu makan sos tomato
  • 3 sudu makan sos tiram
  • 5 helai daun limau purut
  • 1 batang serai - diketuk
  • 5 biji cili padi - diketuk
  • 3 ulas bawang putih - diketuk
  • 1/2 cawan air
  • minyak masak

Caranya :
  1. Panaskan minyak kemudian tumiskan bawang putih dan serai hingga wangi.
  2. Masukkan daging dan kacau rata.
  3. Masukkan lobak merah, kicap pekat, sos tomato, sos cili dan sos tiram. Biarkan mendidih.
  4. Masukkan sayuran lain, cili merah, cili padi dan kacau rata. Kemudian masukkan sedikit air.
  5. Apabila mendidih, masukkan daun limau purut, bawang besar dan kacau rata. Kemudian tutup api.
  6. Hidangkan dengan nasi putih.

Tuesday, November 16, 2010

MEMBERSIHKAN PERUT LEMBU

PERUT lembu adalah antara makanan enak yang sering menjadi rebutan di Hari Raya Korban. Namun, jika tidak dibersihkan dengan baik, ia pasti menimbulkan bau yang kurang menyenangkan. Justeru, ketika membersihkannya, rendam dan gaulkan perut lembu bersama air bancuhan kapur sirih berserta daun pisang yang telah dirincik. Lakukan beberapa kali sebelum dibilas dengan air bersih.

sumber : majalah mingguan wanita

Monday, November 15, 2010

HILANGKAN BAU HAMIS DAGING KAMBING

Setelah dihiris, gaulkan daging kambing dengan tepung gandum dan biarkan selama 20 minit. Bersih dan gaulkan pula dengan air limau nipis. Biarkan selama 30 minit sebelum dibersihkan. Ketika memasak, masukkan 2 atau 3 helai daun pandan ke dalamnya bagi membangkitkan lagi keharuman aromanya.

Monday, November 8, 2010

5 TIP PELIHARA KANDUNGAN ZAT SAYURAN

Suka makan sayur tak ??

Kat rumah ni selalu je buat sup bersayur sebab anak2 makan nasik kalau takde sup, tak meriah diorang nak makan. Tak kisah la sayur campur ke, sup sawi campur telur ke atau sup makaroni tambah sayuran, janji kena letak sayur dalam menu harian anak2..kadang2 diorang makan sayur2 tu, kadang2 diorang ketepikan je. Selalunya sayur berdaun agak mencabar nak bagi diorang makan, kalau bgtau kata "sayur popeye", baru nak makan, sebab nanti boleh kuat macam popeye...hikhik sabar jelah dengan gelagat anak2 ni :)

Citer pasal sayur ni, jom kiter share info/tips camana nak pelihara kandungan zat sayur-sayuran yang kita masak. Rujuk dari majalah impiana DAPUR keluaran Oktober-Disember 2010. Semoga info2 ni dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk diri kita dan juga keluarga tersayang.

  1. Jika sayur tersebut perlu dibuang kulit, pastikan anda membuang kulitnya dengan potongan paling nipis. Ini bagi mengelakkan zat makanan yang terkandung di bahagian bawah kulit turut tersingkir. Ubi kentang, lobak merah kecil (baby carrot) dan tomato adalah lebih baik dimasak bersama kulitnya setelah dicuci bersih.

  2. Gunakan api yang kecil ketika memasak sayur. Ini kerana vitamin C yang ada di dalam sayur-sayuran akan mudah hilang apabila dimasak dengan haba yang tinggi.

  3. Sayuran hijau mudah kehilangan vitamin C dan kandungan air di dalamnya semasa penyimpanan. Oleh itu, elakkan menyimpan terlalu lama dan sekurang-kurangnya tiga hari sahaja.

  4. Elakkan membeli sayuran yang telah kekuningan, lebam atau layu kerana sayuran sebegini telah kehilangan zatnya.

  5. Jika anda ingin menyediakan hidangan sayur berkuah, pastikan menggunakan air yang minimum dan masukkan sayur di peringkat akhir. Masak jangan terlalu lama.
sumber gambar : search kat google

Thursday, November 4, 2010

MAKARONI BAKAR

Salam semua..apa khabar??

Lama jugak kan tak update blog ni. Hari ni ada masa sikit nak luang masa depan laptop ni, boleh la share info makan2 nih...

Hari tu anak kiter (umur nak masuk 4 tahun) demand nak makan makaroni & cheese. Yelah, anak dah mintak nak makan kan, kena usahakan jugak la. Kali ni kiter buat versi chef hanieliza pulak (refer buku resepi beliau). Sebelum ni kiter pernah buat macaroni 'n' cheese tapi kali ni lain sikit...MAKARONI BAKAR pulak. Memang lain la, bahan2 dan juga cara nak membuatnye pun lain. Sedap!!


gambar tak brapa cun sangat sebab snap dalam acuan je..anak2 tengah tunggu nak makan tuh.

Bahan A :
  • 250 gram makaroni (rebuskan hingga lembut)
  • 1 sudu makan minyak jagung
  • 125 gram keju cheddar (diparut) - saya guna keju slice chesdale, dicincang
  • 5 biji telur
  • 1 cawan susu segar
  • 50 gram daun parsli (dicincang) - saya guna parsli kering dalam botol

Bahan B (untuk sos putih) :
  • 1 sudu makan minyak jagung
  • 1 sudu makan tepung gandum
  • 1/2 cawan susu segar

Bahan C (untuk inti) :
  • 300 gram daging kisar
  • 10 biji cendawan butang (dipotong kecil)
  • 1 ulas bawang putih (dicincang halus)
  • 3 biji tomato
  • 1 labu bawang besar
  • 1 biji capsicum merah, hijau, kuning (dipotong dadu)
  • 1 sudu makan minyak jagung
  • 1 sudu teh serbuk lada sulah
  • garam secukup rasa

Cara membuat inti :
  1. Panaskan minyak, kemudian tumis bawang besar dan bawang putih.
  2. Masukkan daging kisar, cendawan butang, tomato, garam dan serbuk lada sulah. Kacau rata.
  3. Masukkan capsicum merah, hijau dan kuning. Kacau rata dan ketepikan.

Cara membuat sos putih :
  1. Panaskan minyak jagung di dalam kuali lain dan masukkan tepung gandum. Kacau rata.
  2. Masukkan susu, kacau hingga sebati dan ketepikan.

Cara membuat Makaroni Bakar :
  1. Sapukan minyak jagung di dalam mangkuk tahan panas. Kemudian masukkan makaroni rebus dan bahan inti.
  2. Tuangkan sos putih ke dalam mangkuk yang berisi makaroni dan inti.
  3. Kacau rata telur dan susu segar. Masukkan dalam mangkuk yang berisi makaroni dan taburkan keju cheddar dan daun parsli.
  4. Bakar dalam oven yang sudah dipanaskan suhu 180 selama 30 minit ataupun hingga keju keperangan.
  5. Sedia untuk dihidang. Selamat menjamu selera :)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

IKLAN